Make your own free website on Tripod.com

pertembungan antara sains islam

 dan sains barat moden

oleh: Masiri Kaamin
(petikanl dari tugasan Falsafah Sains dan Pembangunan Sosial - salah satu mata pelajaran wajib bagi penganugerahan ijazah sarjana UTM)

 

Pendahuluan

Sains dan teknologi yang menjadi teras kemajuan fizikal ummah di serata dunia mutakhir ini terus pesat berkembang dengan penemuan-penemuan baru yang telah memudahkan kehidupan manusia sejagat. Hinggakan ada yang menganggap zaman ini merupakan mercu kegemilangan sains dan teknologi yang dipelopori oleh barat. Ada perkara yang dahulunya merupakan khayalan sains tetapi kini telah menjadi kenyataan. Semua bidang dalam sains dan teknologi masing-masing seolah-olah berlumba untuk menerajui peradaban masa depan. Justeru dalam hal ini sumbangan Islam dalam bidang sains dan teknologi seolah-olah dilupakan sedangkan Islam pernah menerajui persada peradaban ummah di satu ketika dahulu dengan mengungguli tamadun dunia dengan sumbangan ahli-ahli sains Islam ketika itu. Kertas kerja ini cuba untuk meninjau beberapa sumbangan Islam dan tamadun yang telah dicipta dan beberapa perkara asas dalam bidang sains dan teknologi Islami yang mempunyai perbezaan ketara dengan konsep sains barat moden hari ini.

Sebelum itu perlu diperjelaskan beberapa takrifan penting mengenai sains, teknologi dan kejuruteraan agar perbincangan selanjutnya menjadi lebih mudah difahami. Sains boleh didifinasikan dengan "pelbagai pendekatan dan di antaranya sebagai cabang ilmu pengetahuan yang berdasarkan kebenaran atau kenyataan semata-mata - fizik, kimia, biologi dan lain-lain" (Kamus Dewan, 1994) Manakala takrifan lain pula menyatakan bahawa sains ialah "kaedah yang digunakan untuk sampai kepada kebenaran mutlak, iaitu melalui kajian empirik dengan pengumpulan-pengumpulan data melalui pancaindera manusia sahaja. Jadi proses sains moden adalah melalui jalan-jalan rasional" (Benge, 1972:15).

Daripada takrifan ini sains dibahagikan kepada tiga iaitu sains tulen atau sains tabii, sains gunaan dan sains sosial. Sains tabii adalah penyelidikan asas untuk memeperbaharui pengetahuan tentang manusia dan alam semesta ini dengan tidak mengambil kira sama ada pengetahuan tersebut boleh digunakan atau tidak. Sains gunaan pula melibatkan penyelidikan gunaan yang menekankan penghasilan pengeluaran dibidang-bidang yang mempunyai nilai amali seperti perubatan dan pertanian (Naqvi, 1979). Manakala sains sosial pula merupakan pengkajian kelakuan manusia secara individu dan masyarakat serta reaksi dan tindak balasnya terhadap alam sekitar seperti bidang sosiologi, antropologi dan lain-lain yang telah diterima umum sebagai cabang sains moden.

Sementara itu teknologi pula bermaksud penggunaan bersistem akan pengetahuan-pengetahuan sains untuk tujuan-tujuan amali. (Galbraith, 1978. 1978: 31) Dan takrifan lain pula menyatakan aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan lain-lain. (Kamus Dewan, 1994) Maka diantara tujuan utama teknologi ialah untuk memudahkan kerja yang dilakukan oleh manusia (Schumacher, 1974:144)

Manakala kejuruteraan pula ditakrifkan sebagai ilmu yang menggunakan prinsip-prinsip sains dan teknologi secara amali melalui rekabentuk, pembinaan dan operasi struktur-struktur, alat-alat dan sistem-sistem yang cekap dan jimat.(The American Heritage Dictionary Of The English Language, 1969) Justeru daripada takrifan ini maka sains, teknologi dan kejuruteraan merupakan cabang-cabang ilmu yang saling melengkapi dan tidak boleh dipisah-pisahkan.

 

Kewujudan Sains Barat Moden

Hakikat sebenar yang berlaku, terdapat pertembungan besar antara pemahaman Sains Islam dengan pendekatan Sains Barat Moden yang melibatkan prinsip dan dasar dalam proses penerokaan di alam sains ini. Sains Moden yang mempunyai latarbelakang yang tersendiri telah mewujudkan suatu bentuk kefahaman yang telah berakar umbi kepada masyarakat hari ini. Sejarah silam mencatatkan bahawa sains barat moden merupakan sains yang dibangunkan setelah tercetusnya Revolusi Perindustrian pada akhir abad ke 18M. yang telah mengubah masyarakat tani kepada masyarakat bandar. Setelah tercetusnya Revolusi Perancis juga pada akhir abad ke 18M menjadikan teknologi sebagai salah satu perkara penting dalam kehidupan manusia. Sains dan teknologi seterusnya berganding bahu melahirkan ciptaan-cipataan yang boleh digunakan untuk pembangunan masyarakat. Selepas Revolusi Perancis, gereja tidak lagi memainkan peranan utama dalam kehidupan masyarakat Eropah setelah kekalahannya dalam pertarungan dengan sains. Sebaliknya telah muncul suatu gambaran alam dan masa depan yang baharu terhadap tamadun baharu Eropah apabila sains dan teknologi telah dijadikan teras peradaban barat. (Abdul Wahab Ismail)

 

Pertembungan Antara Sains Moden dan Agama

Sejarah telah membuktikan berlaku pertembungan antara sains dan fahaman agama (Kristian). Contohnya pada waktu itu gereja berpenderian mengenai kosmologi (falsafah yang mengkaji asal usul, proses dan strukutur alam semesta) yang pada masa itu dipengaruhi oleh konsep Aristotles yang di antara lainnya menempatkan dunia ini pada pusat alam, telah tercabar apabila Galileo Galilei (1564 – 1642) mengemukakan bahawa sebenarnya dunia hanyalah merupakan satu planet yang mengelilingi matahari. Ini telah mengakibatkan kekecohan sehinggalah beliau dibicarakan dan disingkir daripada Gereja (Tengku Azman, 1981) Sikap Gereja terhadap tokoh-tokoh sains sedemikian, serta kemampuan sains membuktikan pencapaian melalui hujah-hujah yang mudah difahami umum telah menambahkan lagi kerenggangan pertalian diantara kedua-dua golongan. Walau bagaimanapun disebabkan peranan gereja ketika itu cukup kuat, akibatnya banyak sekali ahli sains yang dibunuh. Antaranya termasuklah Galileo, Kepler, Bruno dan banyak lagi ahli sains yang lain. Mujtaba dan Lari (1979) yang memetik daripada Marcel Cache (Social History, Vol II) menyebut: "During this period 5 000 000 people were punished for offences against orthodox thought, or contravention of papal decree. They were hanged on the gallows; or left ini the pitcy dark of well-like dungeons. In the 18 years, 1481 – 1499, the Inquisition burnt 1020 people alive, sawed 6860 asuder, tortured 97 023 to death."

Hinggakan pada abad ke 17 merupakan kemuncak kepada proses pensekularan sains moden iaitu fahaman memisahkan pengetahuan sains dengan fahaman agama (Kristian) yang telah berakar umbi sebelum ini.

Kesan pensekularan sains ini ujudnya fahaman materialisma (falsafah mempercayai hanya bendalah yang menyebabkan adanya dan terjadinya segala sesuatu dalam dunia ini) yang merupakan kepercayaan yang memerlukan jawapan-jawapan mengenai perkara-perkara dasar seperti asal-usul kejadian manusia dan alam semesta, tujuan dan matlamat hidup manusia, keperluan-keperluan asas manusia dan jalan untuk manusia mencapai cita-cita tersebut. Peranan sains dan teknologi moden dalam konteks ini amat jelas sekali, iaitu sebagai alat untuk menjawab kehendak-kehendak metafizik materialisme tersebut.( ) Dan secara umum fahaman materialisme menganggap segala yang wujud itu adalah jirim (bahan) sahaja dan segala sesuatu yang berbentuk roh adalah tidak wujud, malahan mereka boleh dikaji dari sudut pergerakan-pergerakan atom atau elektron, seperti fikiran manusia (Encyclopaedia Britannica, 1977/11: 611). Sementara seorang doktor perubatan berbangsa Perancis, Dr. Maurice Bucaile telah menyatakan perihal materialisme dengan ungkapan "Golongan terbesar di kalangan ahli sains hari ini, kecuali segelintir, adalah sebenaranya diikat oleh teori-teori materialisme, dan mereka memandang ringan atau tidak memperdulikan persoalan-persoalan agama yang mereka selalu menganggap bahawa agama itu didirikan di atas lagenda." (Bucaile, 1976: 19)

 

Gagasan Pemikiran Sains Barat Moden

Aliran yang dibawa oleh sains barat moden ini pada prinsipnya menjadikan manusia sebagai penentu yang mampu membuat sistem penilaian dan kebenaran sendiri, dan bukannya menerima keputusan bulat-bulat daripada sistem lain seperti sistem agama. Dan ini meletakkan taraf sains barat moden ke tempat yang paling tinggi. (Mohd Yusuf Othman, 1993: 7) Dengan itu sains barat moden membenarkan dan menjanakan kebebasan berfikir dengan sebebas-bebasnya. Kekuatan mutlak tamadun ini terletak kepada kekuatan manusia menggunakan akalnya. Akibatnya dimensi dan sistem nilai mereka hanya berasaskan prinsip keinsanan walaupun mereka percaya kepada kewujudan tuhan. Dengan demikian sistem nilai dan kepercayaan kepada kewujudan tuhan terletak kepada bagaimana logik akal menanggapinya. Untuk mengatasi konflik yang wujud antara sistem berfikir yang bersifat logik semata-mata dengan sistem nilai yang berdasarkan konsep wahyu, sains barat moden metekkan garis pemisahan yang jelas antara peranan sains dengan peranan gereja atau agama. Agama hanya berfungsi dalam bentuk upacara, manakala sains mempunyai peranan yang tersendiri yang tidak boleh dicampur atau disepadukan dengan sistem nilai(Mohd Yusuf Othman, 1993: 11)

Sains Islam: Kejatuhan Tamadun Islam

Catatan sejarah lampau menunjukkan betapa pada suatu ketika pada zaman kegemilangan tamadun Islam, masyarakat islam telah membina satu tradisi sains yang telah menjadi salah satu faktor utama yang mendorong kelahiran dan pertumbuhan sains moden di Eropah. Sains Islam telah menempa kejayaan gemilang dalam semua bidang sains, dari ilmu bintang, sains hayat hinggalah kepada ilmu senibina pada zaman perkembangan Islam dalah tempoh antara abad ke 7M hingg ke 16M. (Sulaiman Nordin, 1979:6) Suatu kenyataan yang diakui oleh Barat sendiri ialah peranan yang dimainkan oleh Islam dalam memeprkenalkan sainsnya ke Eropah melalui universiti-universitnya di Andalus pada abad ke 13 M

Perkara ini ditegaskan lagi oleh seorang sarjana Barat ketika mengulas tentang sejarah pembangunan intelek Eropah, katanya: "Hampir lapan ratus tahun di bawah pemerintahan umat islam. Islam Sepanyol menjadi suatu teladan kepada Eropah. Sebagai sebuah negara yang bertamadun tertinggi dan berilmu, kemajuan dalam bidang seni, sastera dan sains di Sepanyol tidak ada tolok bandingannya di seluruh Eropah. Penuntut-penuntut datang dari Perancis, Jerman dan England untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang hanya ada di bandar-bandar orang Islam Sepanyol. Matematik, Astronomi, Sains Hayat, Sejarah, Falasafah dan Undang-undang hanya boleh dikuasai oleh Sepanyol sahaja." (Draper, 1979: Jil.I)

Satu persoalan yang mungkin menjadi tanda tanya mengapa tamadun Islam yang begitu hebat pencapaiannya pada ketika itu, kini hanya tinggal catatan sejarah sahaja? Yang tinggal hanya bukti dan tanda-tanda yang orang Islam melalui pengetahuan sains dan teknologi, pernah menerajui persada tamadun ummah. Sedangkan hakikatnya penganut-penganut Islam pada zaman mutakhir ini adalah di antara masyarakat yang terkebelakang dalam segala segi. Mugkin timbul pandangan yang mengatakan kejatuhan Islam disebabkan Islam tidak menyesuaikan fahamannya dengan keadaan semasa, dan di antara lainnya kegagalan Islam mengambil sikap pemodenan yang lebih terbuka dengan menggunakan sains dan teknologi

Sains dan teknologi Islam hanya merupakan cabang ilmu yang melengkapkan tamadun Islam. Ia bukan merupakan ilmu asas atau dasar dalam Islam tetapi sekadar sebahagian daripada ajaran Islam secara keseluruhannya. Justeru sains dan teknologi islami adalah pengetahuan dan perkembangan sains dan teknologi yang berteraskan kepada pendekatan dan prinsip Islam. Oleh itu Islam tidak memandang sains dan teknologi sebagai satu-satunya yang utama yang dapat mengembalikan zaman kegemilangan tersebut. Kejatuhan Islam bukan kerana Islam tidak mampu menyesuaikan ajarannya dengan perkembangan semasa. Tetapi kejatuhan Islam itu adalah atas sifat pengikut-pengikutnya sendiri yang telah lalai terhadap tugas dan fungsi sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan alam ini mengikut ketentuanNya. Tegasnya tamadun Islam seperti pada zaman kegemilanganya akan hanya wujud jika masyarakat Islam kembali kepada ajaran Allah dan RasulNya melalui Quran dan Sunnah. Ummat Islam mesti kembali kepada pengabdian kepada Allah keseluruhannya, dengan keyakinan yang benar-benar mantap. Tamadun-tamadun yang lain juga akan menemui kehancuran sekiranya membelakangkan Allah, (Abul Hassan ali Nadwi, 1976)

 

Konsep Asas Memahami Sains Islam

Sains Islam mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep dasar Islam. Segala aspek kehidupan berpunca dari asas yang satu iaitu kalimah Tauhid yang membawa dua pengertian utama.(Abdul Wahab Ismail)

Pertamanya yang bersangkutan dengan kosmos (alam semesta). Segala yang terdapat di alam semesta ini termasuk manusia, haiwan, tumbuhan dan planet adalah ciptaan Allah. Ianya terkandung dalam mafhum firman Allah swt.:

Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. (Yang memiliki sifat-sifat) demikiaan ialah Allah, maka mengapa kamu berpaling? Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirehat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah yang Perkasa lagi Maha Mengetahui. Dan Dialah yang menjadikan bingtang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui." (Al-An’am: 95-97)

Pengertian kedua dari Kalimah Tauhid ini ialah segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah swt. adalah dengan perancangan tertentu yang hanya diketahui olehNya. Planet tidak dijadikan kemudian dibiarkan begitu sahaja. Malahan telah ditentukan oleh Allah peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh planet tersebut. Oleh itu bumi mengelilingi matahari adalah atas ketentuan Allah dan perintah Allah. Begitu juga dengan kejadian malam dan siang, tumbuhan dan haiwan, semuanya patuh kepada ketentuan Allah. Perancangan Allah swt. meliputi segala yang ada di dalam alam semesta ini. Begitu juga Allah tidak menciptakan manusia kemudian dibiarkan begitu sahaja tanpa pedoman. Malah manusia telah disediakan dengan peraturan-peraturan untuk hidup, secara individu dan bermasyarakat

Manusia adalah makhluk Allah yang paling istemewa. Allah telah menjadikan manusia dan menganugerahkan manusia dengan akal fikiran yang membezakannya daripada makhluk lain sehingga mampu memahami sesuatu yang di luar jangkaan pancaindera. Kuasa istimewa yang ada pada manusia ini dapat memahami kewujudan alam ghaib dan sebagainya. Dengan tersedianya kuasa berfikir di dalam otak manusia, Allah swt. telah memberi kebebasan kepada manusia untuk melakukan sesuatu. Manusia boleh hidup dengan patuh mengikut keseluruhan ketentuan Allah berpandukan kepada al-Quran. Pada masa yang sama manusia juga boleh engkar kepada peraturan dan ketetapan Allah kerana akal fikirannya telah terpesong dari fitrah yang Allah tetapkan kepadanya sehingga musnahnya alam ini adalah hasil dari tangan-tangan manusia yang enggan patuh pada perintah dan larangan Allah.

Takrif dan Pengelasan Sains Islam

Setiap cabang ilmu dalam Islam saling melengkapi dan berpunca dan merujuk kepada Kalimah Tauhid. Untuk tujuan pengelasan ianya terbahagi dua (Osman Bakar, 1977) Pertamanya ilmu tanzil iaitu ilmu yang diberi khusus kepada Rasul-Rasul untuk disampaikan kepada umat mereka. Ilmu ini mengandungi petunjuk yang mengarahkan hidup manusia ke jalan yang benar dan wajib dipelajari oleh setiap insan Muslim. Ia merupakan asas panduan hidup dan neraca dalam segala bentuk penilaian dan semuanya bersumberkan kepada al-Quran dan al-sunnah. Manakala yang kedua ialah ilmu pengenalan yang merujuk kepada diri manusia khususnya dan kepada alam hakiki. Ilmu ini berpandukan kepada daya usaha manusia sendiri yang berpunca daripada pengalaman hidup secara jasmani dan fikiran sendiri yang melalui proses pemerhatian, penyelidikan, penerokaan dan pengkajian.

Dengan takrifan ini sains dalam Islam membawa pengertian yang lebih luas daripada sains moden. Sains Islam tidak terhad kepdapa sains mengenai dunia jasmani sahaja malah termasuk juga sains al-Quran dan al-Hadith (Nasr, 1970) Lebih tepat lagi , Ibnu Khaldun telah menamakan cabang utama sains yang dipelajari dalam dunia islam. Pertamanya sains intelek atau falsafah yang merangkumi aspek-aspek perubatan, pertanian, kimia, geometri, aritmetik, astronomi dan sebagainya. Keduanya ialah sains tranmisi yang merangkumi pelajaran mengenai al Quran, tafsir dan bacaannya, al-Hadith, percakapan dan perbuatan Rasulullah saw. Sains dan falsafah undang-undang manusia atau ilmu hukum (syariah), tasawuf, usuluddin dan bahasa. (Ibnu Khaldun, 1978)

Pendekatan pengkajian Sains Islam

Dari takrifan ini, sains Islam tidak memisahkan ilmu wahyu dari dari ilmu intelek. Ini merupakan ciri utama perbezaannya dengan sains barat moden, yang menekankan bahawa ilmu yang diterima sebagai sains hanyalah ilmu yang datangnya dari pemikiran manusia sahaja. Ilmu wahyu yang telah dijadikan rujukan dalam segala aspek kehidupan Muslim, telah meletakkan ahli sains Islam ke taraf yang sewajarnya dengan sifat manusia itu sendiri. Dengan itu alam semesta tidak dipandang sebagai sesuatu yang bebas dari penciptaNya, malahan segala tindak-tanduknya adalah atas ketentuanNya. Ahli sains Islam tidak lagi menanyakan soalan seperti siapa kita? Dari mana kita datang? Ke mana kita akan pergi? Apakah alam semesta ini? Siapakah yang menciptakan dan siapa yang mengawalnya? Dan pelbagai persoalan lagi yang semuanya terjawab melalui wahyu yang datangnya dari Allah. Sebaliknya bagi ahli sains barat moden berfahaman materialisme, soalan-soalan ini merupakan di antara soalan-soalan yang masih belum dijawaab dan akan terus mengganggu ketenteraman fikiran mereka. (Khallaf, 1971: 83 – 84)

Justeru itu penyelidikan yang dilakukan oleh ahli sains Islam yang berasaskan kepada tauhid akan membawa setiap pengkajian ke arah satu keputusan yang telah ditentukan iaitu dengan menunjukkan tanda-tanda keesaan Allah yang menjadikan segalanya, sama ada dalam bentuk hukum fizik, fenomena atau sistem-sistem kosmos ini. (Abdul Wahab Ismail) Penyelidikan seumpama ini sangat digalakkan dalam Islam, dan hanya mereka yang berpandukan wahyu sahaja yang mampu melihat kenyataan di luar alam kebendaan ini. Seperti firman Allah (maksudnya):

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘Ya Tuhan Kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Ali-Imran:190-191)

Contoh Pertembungan Antara Sains Islam dan Sains Moden

Sains Barat Moden yang berteraskan kepada kemampuan fikiran manusia dan ditambah dengan fahaman materialisme telah mengujudkan pertembungan dengan sains Islam yang bertunjangkan kepada wahyu Allah (Rujuk Jadual 1) Contohnya dalam asal-usul kejadian manusia. Al-Quran menegaskan bahawa manusia berasal dari Adam, dan Adam pula dari tanah, seperti firman Alah (maksudnya) "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah." (al-Mu’minun:12)

Bagi mendalami hakikat kejadian manusia ini, ahli sains Muslim menyelidik unsur-unsur yang ada di dalam diri manusia serta membandingkannya dengan unsur-unsur yang ada pada tanah. Mengikut penyelidikan terakhir secara analisis kimia, terdapat 105 jenis unsur pada tanah dan kesemuanya didapati berada dalam diri manusia, walaupun berbeza dari segi perkadarannya. Juga terdapat beberapa unsur yang wujud dengan kuantiti yang kecil dan tidak mudah dikesan (Muhajir, 1976:2)

Sementara itu asal usul manusia menurut pandangan sains barat yang dipelopori oleh Charles Darwin (1808 - 1882), seorang ahli biologi yang mengemukakan Teori Evolusi dengan berpendapat bahawa manusia berasal dari binatang , khususnya dari binatang yang berupa manusia mawas. Manakala binatang pula berasal dari ameba, sejenis haiwan yang mempunyai satu sel, iaitu organisma yang paling sederhana. Dengan mengaitkan manusia dengan binatang pula , tidak kira bagaimana kompleks sekalipun, berasal dari organisma tersimpel maka wujudlah pertalian yang berterusan di antara manusia dan benda-benda lain yang hidup. (Abdul Wahab Ismail)

Teori Evolusi ini tidak diterima dalam Islam kerana manusia telah dijadikan oleh Allah swt dalam keadaan yang sempurna dan lengkap. Manusia telah dibekalkan oleh Allah dengan paras rupa, fitrah, fikiran, serta sifat-sifat kebaikan dan kelemahan. Ini telah mencukupi untuk manusia hidup di dunia bagi melaksanakan amanah yang telah ditetentukan oleh Allah. Firman Allah swt. (maksudnya): "Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (At-Tin:4)

Dalam konteks sains barat moden, Teori Evolusi masih merupakan satu andaian yang tidak terbukti dan tidak mungkin dibuktikan secara sains. Pertikaian berlaku dalam penerimaannya sehingga dikalangan ahli sains Barat sendiri. Sulaiman Nordin telah memetik ungkapan beberapa orang ahli sains barat antaranya ialah Thomson, selaku pengarah, ‘Commonwealth Institute of Biological Control’ di Ottawa, Kanada telah menyatakan bahwa "Teori Evolusi itu sebenarnya tidak bernilai sains kerana ia tidak boleh diperiksa dan dipastikan berlaku." Begitu juga dengan Profesor John Moore, dari Jabatan Sains Tabii di Universiti Michigan, Amerika Syarikat, telah menyangkal kebenaran Teori Evolusi dengan mengatakan: "Tidak ada apa-apa pun kecuali bukti-bukti yang tidak jelas atau secara sepintas lalu yang menyokong Teori Evolusi."

Jadual 1: Perbandingan antara Konsep Sains Islam dan Sains Barat Moden

Perkara

Sains Islam

Sains Barat Moden

Asas

Allah (Tauhid)

Akal Manusia (pemikiran)

Kewujudan bernyawa

Roh

Jirim (bahan)

Asal usul manusia

Tanah

Binatang (mawas)

Panduan hidup

Agama (Islam)

Manusia sendiri

Agama

Cara hidup

Upacara tertentu sahaja

 

Al-Quran dan Sains

Al-Quran merupakan wahyu rujukan utama ummat Islam. Di dalamnya terdapat lebih kurang 750 rujukan berkaitan dengan ilmu. (Sulaiman Nordin, 1984: 2) Sifat al-Quran yang diturunkan kepada ummat manusia yang menerangkan ilmu pengetahuan sebenarnya sebagai tanda kekuasaan dan keagungan Allah. Banyak ayat al-Quran menerangkan secara mudah mengenai renungan dan amatan umum ini. Namun, ia juga mempunyai data yang lebih terperinci dan berkait rapat dengan fakta-fakta yang yang ditemui oleh sains moden. Umpamanya al-Quran menyatakan tentang langit, bulan, bintang, matahari serta fenomena astronomi yang lain secara am sahaja. Ia memberi peringatan dan renungan kepada manusia dan menyuruh manusia menggunakan akal fikiran untuk meneroka pengertian sebenar tentang kewujudan langit, bumi serta apa-apa sahaja yang terkandung di antara keduanya.

 

Justeru itu al-Quran telah dan akan sentiasa mencabar seluruh ummat manusia pada setiap zaman dengan pelbagai rahsia ilmu pengetahuan yang ada pada zaman itu untuk menunjukkan kepada manusia tanda-tanda dan hujah-hujah ilmiah kekuasan Allah. Hari ini manusia mengagungkan penggunaan sains dan teknologi sebagai satu bidang ilmu yang boleh menyelesaikan pelbagai masalah keperluan harian manusia. Pada masa yang sama ia mempamerkan pengajian sains adalah selari dengan kenyataan al-Quran dan al-Sunnah. Perkara ini diperakui sendiri oleh Dr. Maurice Bucaille dalam rencananya bertajuk Al-Quran dan Sains Moden: "Tidak ada satu pun hasil kajian manusia sebelum zaman moden mengandungi kenyataan tentang ilmu yang jauh mendahului zamannya dan mampu pula menggarap ilmu yang tidak langsung ketara pada zamannya sendiri setanding dengan al-Quran." (Baharuddin Ahmad, 1994: 1)

Dan dalam bukunya ‘The Bible, The Quran and Science’, beliau menyatakan "Whereas monumental errors agr to be found in the Bible, I could not find a single error in the Quran". Maksudnya: "Sementara terdapat kesalahan-kesalahan yang amat ketara dalam Bible, saya tidak mendapati satu kesalahan pun dalam al-Quran". (Sulaiman Nordin, 1984: 2)

Dan secara tegas Allah telah menerangkan kebenaran al-Quran melalui firmanNya (maksud); "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap bidang (penjuru) dan pada diri mereka sendir. Sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah suatu kebenaran (al-Haq)" (Fussilat: 53)

 

Kesimpulan

Hakikat betapa sains dan teknologi mempunyai sumbangan besar dalam mewujudkan peradaban dan tamadun manusia sejagat. Hari ini bidang sains dan teknologi terus berkembang dengan penemuan baru yang mengagumkan. Islam sebagai deen yang syumul yang sesuai dengan setiap zaman dan tempat mengiktiraf kemajuan di bidang ini. Buktinya tiada satu pun fakta sains yang bercanggah dengan al-Quran. Malahan terdapat bukti bahawa al-Quran yang diturunkan lebih seribu empat ratus tahun lalu telah mendahului pengkajian manusia di bidang sains (Dr. Maurice Bucaile) Cumanya manusia mesti meletakkan tauhid yang bersumberkan wahyu Allah sebagai dasar kepada penerokaan di bidang sains dan teknologi. Jika tidak tamadun yang dibina oleh manusia akan memusnahkan manusia sendiri. Penciptaan bom atom, bom kimia dan senjata –senjata canggih khususnya untuk tujuan peperangan – senjata nuklear, penggunaan bom napalma telah digunakan di Afghanistan dan Vietnam, kelahiran anak tabung uji, pengklonan manusia, penipisan lapisan ozon, penyalahgunaan dadah, pencemaran alam dan banyak lagi membawa akibat buruk kepada ekosistem di dunia ini. Ini semua kerana sains dan teknologi yang dicipta semata-mata kerananya lalu mengabaikan sifat tanggungjawab terhadap bahaya yang akan menimpa kepada ummah. Ini di perakui oleh seorang ahli sains bernama Dr. Desmond King-Hele pada tahun 1964 telah menanyakan "Adakah tamadun kita akan hancur sendiri sebelum tahun 2000?"

 

Justeru hari ini ummat Islam harus bangun dari tidur yang panjang, untuk kembali memimpin tamadun dunia. Sejarah lampau telah membuktikan ummat Islam pernah menerajui sains dan teknologi. Mereka jangan leka dan bangga dengan tamadun Islam yang telah dicapai itu sedangkan hakikatnya ummat Islam kini jauh ketinggalan di bidang tersebut. Oleh itu ummat Islam harus kembali kepada al-Quran sebagai sumber asas dalam usaha menguasai segala aspek ilmu pengetahuan yang merupakan asas penting untuk mencapai kemajuan. Bahkan ayat al-Quran yang pertama sekali diturunkan kepada Rasulullah saw. adalah berkaitan dengan ilmu iaitu: (maksudnya) "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5)

 

Ini ditambah pula anjuran supaya menuntut ilmu walaupun ke negeri China membuktikan peri pentingnya ilmu pengetahuan dan usaha mencarinya. Imam Malik pernah mengatakan bahwa ilmu itu tidak mendatang bahkan dicari.(Abdul Monir Yaacub,1993) Ilmu naqli atau ilmu agama sahaja tidak mencukupi meskipun ia merupakan ilmu yang paling tinggi dalam pandangan Islam. Manusia memerlukan pengetahuan yang terperinci tentang alam fizikal (sains dan teknologi), alam kemanusiaan dan alam kemasyarakatan untuk menggunakan segala potensi yanga ada secara jasmani dan rohani sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah yang akan membangun dirinya, alam sekitarnya dan masyarakat serta membentuk sejarah sesuai dengan tuntutan aqidah tauhid dan syariat Allah

 

Ilmu yang menghasilkan tamadun Islam telah berjaya mencapai kemajuan dalam berbagai bidang dan telah menerajui kepimpinan tamadun dunia. Untuk mempastikan perkara ini berulang dan terus berlaku maka ummat Islam perlu iltizam dengan melahirkan cendekiawan yang dapat menggunakan ilmu ke arah meningkatkan martabat ummah. Pedoman untuk menggerakkan dan menaikkan imej ummat Islam ialah petunjuk daripada Allah melalui al-Quran (maksudnya): "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah kedudukan sesuatu ummat kecuali mereka sendiri berusaha merubah nasib mereka sendiri." ( Ar-Ra’d:11)

                                                                                              setstats 1